BAYAM BRAZIL MASAK LEMAK SEMPOI DAN SIHAT

BAYAM BRAZIL MASAK LEMAK

Bayam Brazil
 

Ramai orang  bercakap mengenai bayam brazil, khasiat bayam brazil, cara mudah nak tanam bayam brazil dan banyak lagi.  Bayam Brazil ini saya ambil daripada kebun komuniti Taman Keramat AU3, kebun yang diilhamkan oleh YB Saari Sungib atau pun Abu Urwah.  Selain daripada seorang jurutera, ahli akademik,pakar perunding , ahli dewan undangan negeri Hulu Kelang, saya tambah satu lagi iaitu pencinta alam sekitar.  Kebun komuniti ini telah menarik warga Taman Keramat untuk bersama-sama mengusahakan kebun komuniti dan sama-sama merasa hasil daripada berbudi kepada tanah.  

Bercakap mengenai Abu Urwah, sebenarnya saya telah lama membaca buku-buku beliaul terutama buku yang menjadi teks usrah semenjak saya menuntut di UITM lagi iaitu Risalah Usrah. Tetapi sejak beberapa tahun belakangan ini barulah saya berpeluang mengenali batang tubuh YB Saari Sungib dengan lebih dekat dan secara live.....Orangnya sangat berhemah dan berwawasan tinggi.  Walaupun dalam keadaan kurang sihat beliau masih boleh ke mana-mana dengan kerusi roda dengan dibantu oleh anak-anak dan isteri untuk berbakti kepada masyarakat.  Beliau adalah seorang tokoh yang perlu dicontohi dah dihormati oleh semua golongan masyarakat. Alhamdulillah masa saya menulis artikel ini beliau kelihatan lebih sihat dan boleh berdiri semasa berucap.

Alamak..kita nak kongsi pasal masak lemak kan?....hihi terbercerita pasal tuan punya kebun pula...OK..jom kita...

BAHAN-BAHAN
  • Semangkuk besar daun bayam brazil ( lebih kurang macam 2 ikat bayam atau kangkung yang kita beli di kedai )
  • Kubis secukupnya
  • 1/2 batang lobak merah (carrot )
  • 1/2 mangkuk kecil bilis ( jika nak taruk udang kering pun boleh )
  • 2 ulas bawang merah
  • Sebiji cili besar merah
  • 200ml santan kotak ( saya guna kara )
  • Air secukupnya
  • garam dan gula ( jika suka - disarankan guna gula low GI atau gula low kalori biar mahal sikit tapi tidak meningkatkan gula darah untuk pesakit diabetes)
CARA-CARA
1.   Bayam itu dipetik daunnya sahaja, batangnya dibuang atau ditanam semula.
2.   Potong kubis ikut cita rasa
3.   Lobak merah potong panjang macam nak buat acar rampai
4.   Cili besar dipotong serong
5.   Basuh bilis dan tumbuh bersama bawang merah
( jika nak cepat hiris aje bawang dan tak perlu tumbuk bilis..ini utk orang yang sibuk atau malas...)

6.   Masukkan 500ml air ke dalam periuk
7.   Masukkan bahan yang ditumbuk 
( jika nak tumis tak perlulah bawang ditumbuk, cukup dengan menumis hirisan bawang, cili dan masukkan bilis , lepas tu baru masuk air )

8.   Biarkan air mendidih sebentar, masukkan santan pekat, kacau selalu supaya santan tidak kepala.
 ( masukkan secawan air ke dalam kotak santan tadi, kacau dan tuangkan ke dalam periuk - jika rasa kuah tidak mencukupi boleh tambah lagi air ataupun santan)

9.   Bila dah mendidih, masukkan lobak merah, biarkan sebentar hingga mendidih
10. Masukkan kubis
11. Masukkan bayam brazil
12. Masukkan gula jika suka ( sya biasanya tidak taruk gula kerana rasa bilis dan bayam yang baru  dipetik dari ladang tu dah sedap ).

13. Bila mendidih sebentar , matikan api.
14. Biarkan 10 minit baru masukkan garam secukup rasa.

BAYAM BRAZIL
Petua : Garam adalah unsur yang sensitif dengan haba.  Kita biasa dengar jika makan garam banyak boleh menyebabkan darah tinggi.  Sebenarnya cara kita menggunakan garam yang salah.  Bila garam dibubuh dalam masakan semasa kita memasak, maka ia akan terdedah kepada haba.  Haba ini akan mengurangkan rasa masin pada garam jadi kita akan tambah lagi garam sehingga kita rasa cukup kemasinannya.  Ingin saya ingatkan di sini kandungan natrium/sodium akan bertambah bila kita menambah garam dalam  masakan, mengambil garam berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.  Mengikut kajian  badan manusia hanya memerlukan 1 sudu teh garam sehari.

Oleh itu kita disarankan untuk membiarkan makanan yang telah dimasak dibiarkan selama 10 minit sebelum menambah garam.  Garam yang ditambah dalam keadaan makanan tidak terlalu panas akan menambah kesedapan masakan dan tidak perlu lagi kita menambah bahan perisa seperti monosodium glutamate dsb.








Ulasan