NASI GORENG PATTAYA SAIZ XXL ( BIG PATTAYA FRIED RICE )

NASI GORENG PATTAYA SAIZ XXL

 HADITH SAHIH MAKAN DENGAN SEDERHANA
Sebelum saya kongsi resepi dengan kawan-kawan semua, saya juga ingin kongsikan hadith sahih mengenai bersederhana dalam makan.  Sebagai orang Islam, ajaran siapakah yang paling baik, bukankan ajaran agama Islam, agama langit dan agama Allah, Tuhan pencipta kita.  Allah telah memberikan kita panduan dalam semua kerenah kehidupan, cuma kita nk amalkan ataupun tidak sahaja.

Hadith Makan Dengan Bersederhana

عَنْ مِقْدَامَ بْنَ مَعْدِ يكَرِبَ يَقُولُسَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ حَسْبُ الْآدَمِيِّ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ غَلَبَتْ الْآدَمِيَّ نَفْسُهُ فَثُلُثٌ لِلطَّعَامِ وَثُلُثٌ لِلشَّرَابِ وَثُلُثٌ لِلنَّفَسِ

Dari Miqdam bin Ma'dikarib berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bekas yang lebih hina melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia makan memadai dengan beberapa suapan yang dapat menegakkan (menguatkan) tulang sulbi (tulang belakangnya). Jika dia dikuasai oleh nafsunya maka (hendaklah diisi perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minum dan sepertiga untuk bernafas." (HR Ibnu Majah No: 3340) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memelihara kesihatan tubuh badan supaya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai hamba Allah dengan baik dan sempurna.

2. Setiap Muslim hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan makanan yang diambil. Ambillah makanan dengan kadar yang sederhana dan mampu memberikan tenaga untuk melakukan amal, jangan berlebihan yang boleh mendatangkan mudarat.

3. Mudarat pada kesihatan adalah berpunca daripada makanan yang keterlaluan. Obesiti atau kegemukan akibat makan yang berlebihan boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan sebagainya. Kata al-Harith bin Abi Kaladah, seorang ahli perubatan Arab:

"Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit" (Al-Kasyf al-Ilahi, m/s 499).

4. Al-Quran menyarankan agar makan dan minum dengan kadar yang sederhana dan menjauhi sifat tamak, mementingkan diri sendiri serta membazir. Firman Allah:

وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ

“Makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (al-Araf: 31)

5. Kita dianjurkan agar mengamalkan pemakanan yang sihat iaitu 1/3 dari perut di isi dengan makanan, 1/3 diisi dengan air dan 1/3 dikosongkan untuk bernafas.

Biasanya kita makan nasi goreng pattaya di restoran-restoran bersaiz kecil dan dimakan sepinggan seorang. Tapi bila buat di rumah dengan ahli keluarga yang ramai seperti saya, jika nak buat sepinggan seorang maka ia jadi lambat, leceh dan susah nak buat. Jadi saya buat nasi ni besar-besar ( telurnya bersaiz besar...hihi ) dan boleh dimakan untuk 8 orang sekali makan.  Bagi orang lain mungkin 4 pinggan nasi goreng tak cukup untuk 8 orang. Namun saya sebagai seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang membesar bagai JOHAN maka saya mengajar mereka untuk makan sedikit, jika tidak badan mereka akan membesar tak dapat di tahan-tahan lagi.  Bila dah lepas sekolah maka mereka sibuk mendiet dan ia melibatkan kos juga untuk membeli produk seperti protin supaya perut tidak lapar dan membantu penurunan berat badan.  

Jadi nasihat saya kepada semua, kita sama-sama jaga makan kita, dari segi kalori makanan, jumlah yang dimakan, kandungan zat makanan dan waktu kita makan.  Tidak salah makan makanan yang sedap tapi sebagai seorang Muslim kita kena bersederhana selalu.  Dan bagi saya yang mempunyai diabetes, saya tidak rela makan makanan yang tidak sedap kerana ia menaikkan gula darah saya secara tidak berbaloi, tapi saya sangat suka makan makanan yang sedap dan sanggup tolak tepi makanan lain dan tumpu pada makanan sedap sahaja. ( kerana berbaloi jika gula naik pun sb tekak kita terasa nikmatnya...kikiki )

Sekarang terimalah hadiah dari saya....nasi goreng pattaya saiz xxl ( atau big  pattaya fried rice )


Bahan-Bahan:

4 pinggan nasi putih sejuk
4 sudu besar minyak masak
1 biji bawang merah besar + 4 ulas bawang putih diblend ( jika guna bawang merah kecil boleh bubuh 8 ulas )
2 mangkuk kecil isi ayam  dipotong dadu
8 sudu besar sayur campur
8 tangkai cili padi diketuk
2 sudu kecil serbuk lada hitam
4 sudu besar kicap manis
4 sudu besar sos cili
6 biji telur ayam 9 untuk ( balut nasi )
2 sudu teh stok ayam atau 1 kiub ayam
Garam  kiub ayam
2 sudu besar butter atau minyak untuk menggoreng telur

Cara Membuat:
1.Panaskan minyak. Tumis bawang yang diblend hingga naik bau.
3.Masukkan isi ayam, kacau hingga masak.
4.Masukkan garam secukup rasa,sos cili,kicap, kiub ayam/stok ayam. 
6.Masukkan sayur campur & cili padi, kemudian masukkan nasi.
8.Taburkan serbuk lada hitam & kacau hingga sebati. Goreng sehingga kelihatan berwap, kemudian angkat.


Proses Membungkus Nasi dengan Telur:

1.Sediakan kuali leper atau apa-apa kuali yang sesuai dan senang untuk melebarkan telur dadar.
2.Panaskan kuali dan masukkan 1 sudu besar butter.
3.Ratakan butter hingga keseluruh permukaan kuali.
4. Pecahkan 3 biji telur dan pukul hingga sebati ( boleh letak sedikit garam dan lada hitam jika suka )
5.Bila butter betul-betul panas, masukkan 3 biji telur yang telah di pukul tadi. Biarkan sekejap, angkat kuali sedikit dan lenggang ( pusingkan ) kuali perlahan-lahan supaya telur menjadi bulatan yang besar dan leper dan nipis.
6.Angkat telur dan masukkan ke dalam pinggan besar.
7.Masukkan nasi yang digoreng tadi ke atas telur.
8.Goreng 3 biji telur lagi, buat seperti no 4 dan 5.
9.Angkat telur dan letakkan di atas nasi di dalam pinggan tadi.
10.Hias telur dengan sos cili dan sos tomato serta timun.

SELAMAT MENCUBA, klu dah cuba tu jangan lupa doakan kebaikan utk saya ye, dan juga setiap orang yang kongsi ilmu dengan kita...aamiiin..


Ulasan