CAMPURAN MEDIA TANAMAN YANG BAIK

CAMPURAN MEDIA TANAMAN






CIRI-CIRI MEDIA TANAMAN YANG BAIK 

1. Memberi sokongan yang baik kepada akar

2. Daya memegang dan pembebasan air yang baik kepada tumbuhan

3. Mempunyai ruang pengudaraan yang baik

4. Mempunyai ruang saliran yang baik

 ( dengan kata lain media atau tanah gembur dan poros )

5. Membekalkan nutrien yang baik kepada tanaman

4. ph nuetral

5. Mempunyai mikro organisme baik

6. Kos yang murah


CAMPURAN MEDIA SEMAIAN

Mengikut John Innes Potting ( JIP ) campuran media semaian adalah seperti berikut :

Nisbah 2:1:1 iaitu

2 bahagian tanah loam ( tanah atas ), 1 bahagian bahan organik dan 1 bahagian pasir sungai.

Ini adalah untuk peringkat awal menyemai benih tanaman.

CAMPURAN MEDIA MEMASU

Campuran memasu mengikut JIP ( John Innes Potting ) adalah mengikut nisbah 7:3:2 iaitu :

7 bahagian tanah loam/tanah peroi/tanah atas

3 bahagian bahan organik

2 bahagian pasir sungai

atau pun 3 : 2 : 1

Ini adalah asas dalam penyediaan menyemai dan memasu seperti yang saya ajarkan kepada murid-murid dalam mata pelajaran KHB ( Kemahiran Hidup Bersepadu )  dahulu sebelum diperkenalkan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi ( RBT ) yang memadamkan mata pelajaran KHB.  Namun ilmu ini masih boleh digunakan hingga hari ini.

Walaupun begitu seiring perkembangan teknologi, maka kita dapati pelbagai cara menyediakan media memasu atau media penanaman.  Jadi setelah mencari pelbagai cara, maka saya ingin kongsikan di sini beberapa cara yang berkesan dan boleh dibuat sendiri.

3 PROSES PENTING DALAM PENYEDIAAN MEDIA TANAMAN

1. Nisbah campuran

2. Baja  asas

3. Pemeraman/fermentasi media tanaman

Sebelum kita membuat tanah/media campuran sendiri perlu diketahui bahawa terdapat beberapa jenis tanah seperti tanah berat dan tanah ringan.

Tanah Berat

Ciri-ciri tanah berat ialah ia keras bila kering dan becak/lembik bila basah ( seperti tanah liat dan tanah merah ).

Ia berwarna kemerah-merahan

Tanah Ringan

Tanah ringan ialah tanah hitmn, top soil/tanah permukaan/ , tanah gembur, tanah humus.

Warna lebih coklat dan hitam, kelihatan lebih subur.


TANAH BERAT

Jika menggunakan tanah berat ,ini adalah campurannya :

Nisbah Campuran 1

1 tanah berat : 1 tinja haiwan : 2 sekam padi : 1 pasir sungai

Nisbah Campuran 2

1 tanah beraT : 1 tinja haiwan : 3 sekam padi : 1 pasir sungai

Nisbah Campuran 3

1 tanah berat : 1 tinja haiwan : 3 sekam padi

Nisbah Campuran 4

1 tanah berat : 1 tinja haiwan : 4 sekam padi


TANAH RINGAN 

Jika menggunakan tanah ringan maka nisbahnya adalah begini :

Nisbah Campuran 1

1 tanah ringan : 1 tinja haiwan : 1 sekam padi 

Nisbah Campuran 2

1 tanah ringan : 1 tinja haiwan : 2 sekam padi

Nisbah Campuran 3

1 tanah ringan : 1 tinja haiwan

## tips - jemur dulu media sebelum dicampur untuk hindari penyakit

BAJA ASAS

Baja asas diperlukan untuk membekalkan baja permulaan untuk tumbuhan. Bahan-bahan yang diperlukan ialah :

1.Baja NPK ( perlukan sedikit baja kimia untk menyediakan unsur segera kpd pokok 1 Sudu makan

2. Kapur dolomit 2 sudu makan

3. Racun kulat 0rganik 1/2 sudu makan ( jika susah nak cari boleh guna baking soda )

Ada setengah orang bertanya kenapa guna baja kimia NPK?, sebenarnya ini untuk permulaan sahaja, kerana baja NPK memberi kesan nutrisi yang cepat kepada tanaman.  Baja NPK dalam jumlah yang sedikit adalah selamat digunakan.  Ia hanya sebagai bekalan nutrisi permulaan sahaja.

Campurkan baja ini ke dalam media tanaman kita. Ini adalah sukatan untuk 1 pasu media

Kapur dolomite??

Kapur dolomite adalah sejenis kapur yang digunakan dalam bidang pertanian yang kaya dengan kalsium dan magnesium. ( ia ada sedikit berbeza dengan kapur pertanian dari segi kandungan dan keberkesanan )

Kegunaan kapur dolomite

Kapur dolomite berfungsi meningkatkan pH tanah, meneutralkan media tanaman dan meningkatkan nutrisi media, menambah populasi mikroorganisme, merangsang pertumbuhan akar, menghijaukan tanaman, membunuh benih penyakit dan meningkatkan produktiviti tanaman.


FERMENTASI /PEMERAMAN MEDIA

Pemerapan atau orang sekarang panggil fermentasi adalah perkara yang sangat penting yang sering dilupakan oleh ramai petani.

Fermentasi biasanya dilakukan 1 bulan. Tujuan fermentasi atau pemeraman adalah untuk mengurai tinja haiwan dan supaya racun di dalamnya hilang kesannya.

Jangan guna tinja yang masih basah, guna yang telah kering supaya pokok terhindar daripada penyakit.

Namun begitu untuk mempercepatkan pemeraman kepada 2 minggu boleh gunakan cara di bawah :-

Bahan-bahan untuk pemeraman/fermentasi

1 penutup EM ( effective microorganisme )  + 1 liter air + 1 sudu makan gula merah  semburkan pada media secukupnya dan gaul rata )

( boleh guna bio enzim untuk menggantikan EM4  iaitu 1 bahagian bio enzime campur dengan 5 bahagian air dan campurkan pada campuran media tadi )

Dengan menggunakan EM4 atau bio enzyme, pemeraman boleh dipendekkan kepada 2 minggu.

Ia juga boleh bertindak sebagai booster untuk tanaman.


SUSAHNYE.....nak kena peramlah bagai....ADA CARA YANG LEBIH MUDAH  ye kawan-kawan....gunakan baja kompos atau tanah kompos yang kita buat sendiri...kerana jika kita gunakan baja kompos maka tidak perlu pemeraman lagi....Nisbahnye masih sama iaitu :-

Nisbah Campuran 1

1 tanah ringan : 1 baja kompos : 1 sekam padi 

Nisbah Campuran 2

1 tanah ringan : 1 baja kompos  : 2 sekam padi

Nisbah Campuran 3

1 tanah ringan : 1 kompos

Pilih mana yang senang.....


SEKAM PADI......mana nak dapat?.....selalunya ada jual di kedai pertanian atau beli je kt kilang padi.....

Kilang padi????? mana nk cari kt Key El niiiii....bakpe mung ngajar ajaran susah ni?!!!

KEDAI PERTANIAN KT MANA?????...hihi....boleh google tp selalu juga x jumpa sb nama kedai tu mcm-mcm. 

SEKAM PADI  boleh ganti dengan SABUT KELAPA yang diproses ( cocoa peat ), walaupun mempunyai kandungan zat yang berbeza namun sabut kelapa proses lebih senang diperoleh di mana-mana nursery. He, he...OK tak ilmu yang akk bagi?

HIHI...ada cara lebih senang.....beli je tanah campur kat kedai......selesai masalah....

( nak lagi senang...beli je sayur kt kedai..tak payah tanam-tanam..buat semak je ...pi lepak kt mall lagi baik ) amacam???

*** sekarang ni semua boleh beli di Shoppe atau Lazada....hendak seribu daya.....

Teringat kata-kata sahabat kebun saya K.Yus..setiap helai daun itu memberikan pahala kepada kita kerana setiap helai daun itu membekalkan oksigen yang boleh digunakan oleh semua makhluk Allah yang bernyawa...( begitulah kira-kiranya lebih kurang ayat dia..kalau salah betulkan ye K.Yus..:) )



Ini Edible Garden saya......guna baja kompos buat sendiri......sekarang tak beli tanah....recycle je tanah lama campur dengan sisa makanan ( ini namanya mengompos )...jimat.....







Ulasan