MUFFIN PISANG TANPA GULA ( SUGAR FREE BANANA MUFFIN )

 

MUFFIN PISANG TANPA GULA 

( SUGAR FREE BANANA MUFFIN )


Sebagai seorang penggemar kek dan pastri ,saya memang tidak boleh tahan melihat makanan yang enak seperti ini.  Namun begitu sebagai seorang penghidap diabetes atau kencing manis, saya terpaksa menahan diri saya dari makan makanan manis dan bergula. Dah lama saya mencari resepi-resepi sebegini tapi jarang terdapat dalam bahasa Melayu. Jadi saya berusaha  mencari resepi dalam bahasa Inggeris dan menulis semula dalam bahasa Melayu.

Alhamdulillah, bila menyertai kebun komuniti ni rezeki sangat murah.  Bila ke kebun ada sahaja bahan makanan yang dapat dibawa pulang seperti sayur-sayuran, ulaman dan buah-buahan seperti pisang, rozel dan kadang-kadang buah markisa.  Pisang dari kebun sebelah yang diusahakan oleh Tuan Haji Yasin adalah pisang terbaik yang pernah saya rasa.  Apa tidaknya, pisang beliau tidak diperam dengan karbait, ia masak secara natural.  Sangat enak dan manis.  Tiap kali tuan Haji Yasin menuai pisangnya, maka akan sampailah kepada kami AJK kebun komuniti Taman Gombak Zon 3 yang bersebelahan dengan kebun Tuan Haji Yasin. Tuan Haji Yasin juga adalah salah seorang daripada sukarelawan kebun komuniti kami. Beliau seorang yang sangat baik hati dan sporting orangnya, seronok berbual dengan golongan senior ini, banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. Suatu hari beliau memberi saya memberi beberapa sikat pisang kapas kepada saya. Lalu saya berfikir apakah yang boleh dibuat dengan pisang itu. Maka timbul idea untuk buat mufin pisang tanpa gula, khas untuk diri saya yang tidak boleh mengambil gula dalam kuantiti yang banyak ini. Maka lepas digodek-godek makan terhasillah muffin yang enak dimakan samada untuk sarapan ataupun minum petang.


RESEPI MUFIN PISANG TANPA GULA

1 cawan tepung gandum

1/2 cawan oat ( jika tk ada boleh ganti 1/2 cawan dengan tepung gandum )

1 sudu teh baking soda

1 sudu teh baking powder 

3/4 cawan gula ( diganti dengan gula nano tanpa kalori atau madu atau apa-apa pemanis tanpa kalori )- jika tak letak pun tak apa  

3 biji pisang kapas atau apa-apa pisang yang sewaktu dengannya dilenyek. ( lebih kurang 1 cawan pisang yang telah dilenyek )

sebiji telur di kocak dengan hand mixer atau garpu pun boleh

1/3 cawan minyak sayur

1 sudu teh esen vanila

1/2 cawan kismis untuk menambah perisa ( tak ada pun tak apa )

sedikit badam cincang untuk hiasan

CARA-CARA

1. Panaskan oven 175 darjah celcius

2. Ayak tepung bersama dengan baking soda dan baking powder, masukkan kismis, ketepikan

3. Dalam bekas lain lenyek pisang, masukkan gantian gula seperti gula nano atau madu ( tak masuk pun tak apa

4. Campurkan minyak sayuran

5. Pukul telur hingga berbuih dan  masukkan ke dalam campuran pisang lenyek

6. Masukkan esen vanila

7. Masukkan tepung sedikit demi sedikit ke dalam adunan pisang, kaup balik hingga sebati, jangan terlampau lama menggaul kerana ia akan membantatkan kejadian mufin.

8. Masukkan ke dalam acuan kek cawan 2/3 penuh

9. Taburkan badam atau apa-apa bahan hiasan seperti chia seed, kismis atau lain-lain bahan yang disukai.

10. Bakar 175 darjah celcius selama 20-25 minit.

11. Cucuk dengan lidi atau cake tester, jika lidi licin maka mufin itu telah masak. jika masih ada adunan melekat pada lidi , boleh tambah masa pembakaran 5 minit lagi. atau bakar hingga masak...jangan sampai hangus ye..


# bila dah sejuk boleh masukkan ke dalam bekas kedap udara.

#mufin ini lebih lembap jika disimpan dahulu dan dimakan keesokan hari, tapi enak juga jika dimakan terus kerana aromanya yang semerbak bila dikeluarkan dari ketuhar.  Tau tak ketuhar itu apa?, haaa ketuhar ialah oven ye...


Ulasan